A- A A+

Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) 2017

Sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Malaysia untuk mentransformasikan perkhidmatan bantuan guamannya, Dewan Negara Parlimen Malaysia baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) 2017. Antara matlamat Rang Undang-Undang ini adalah untuk menyemak semula ujian kemampuan bagi memperkenalkan pendekatan yang lebih praktikal dalam menentukan kelayakan bantuan guaman seseorang. Dalam hal ini, pindaan ini dijangka akan menyelaraskan pemberian bantuan guaman kepada mereka yang berpendapatan rendah yang merupakan golongan yang menerima bantuan khas Kerajaan seperti BR1M.

Selain itu, pindaan ini juga memperkenalkan khidmat pendamping guaman. Apabila dikuatkuasakan, khidmat ini terbuka kepada semua kanak-kanak yang merupakan mangsa kesalahan jenayah. Antara fungsi pendamping guaman adalah untuk menasihati penjaga mangsa kanak-kanak mengenai perkara undang-undang dan untuk menemani kanak-kanak dalam prosiding mahkamah dan, dengan kebenaran mahkamah, untuk bercakap bagi pihak kanak-kanak tersebut. Pendek kata, pendamping guaman akan melindungi kepentingan undang-undang kanak-kanak dan bertindak sebagai penenang kanak-kanak tersebut terutamanya semasa prosiding mahkamah.