Perbincangan Kaedah Permohonan Sumbangan Dana Kerjasama Strategik JBG-MAIDAM
Isnin, 23 September 2024 – Perbincangan lanjut bagi pemberian sumbangan dana dan kerjasama strategik antara JBG dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) telah diadakan pada hari ini di Bilik Mesyuarat MAIDAM, Kuala Terengganu. Perbincangan ini diadakan rentetan daripada kelulusan bantuan guaman kes-kes Mahkamah Syariah bagi golongan asnaf oleh pihak MAIDAM. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Nazli Amiri bin Ngah, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat). Pihak JBG telah diwakili oleh Puan Rosedalliyaty binti Daud, Pengarah Bahagian Litigasi dan Khidmat Nasihat (Syariah) serta beberapa orang pegawai dari JBG Ibu Pejabat dan JBG Terengganu. Antara objektif perbincangan ini diadakan adalah bagi membincangkan kaedah permohonan dan pelaksanaan serta kaedah tuntutan bayaran. Pihak JBG amat berbesar hati berkolaborasi dengan pihak MAIDAM agar lebih ramai golongan asnaf yang berkelayakan di negeri Terengganu dapat diberikan bantuan guaman yang sewajarnya. Semoga perbincangan pada hari ini akan dapat memberi impak yang positif bagi usaha penambahbaikan perkhidmatan dan mendapat kebaikan dalam meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan antara kedua-dua agensi pada masa hadapan. |
|