
Pengantaraan
Soalan Lazim [ Pengantaraan ]
1. Apakah itu pengantaraan?
Pengantaraan ialah proses yang dalamnya pihak-pihak yang bertikai menyelesaikan pertikaian mereka secara sukarela dan damai dengan bantuan seorang pengantara. Sidang pengantaraan akan diadakan dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas pihak-pihak menandatangani Perjanjian Persetujuan untuk Pengantaraan.
2.Apakah kelebihan pengantaraan?
Pengantaraan-
(a) menggalakkan pihak-pihak yang bertikai menggunakan hak bersuara sepenuhnya dalam menyelesaikan pertikaian;
(b) menggalakkan kerjasama antara pihak-pihak;
(c) menjimatkan masa dan kos;
(d) menjamin kerahsiaan segala komunikasi sepanjang perundingan;
(e) mengekalkan dan memperbaiki hubungan pihak-pihak;
(f) tidak memudaratkan mana-mana pihak walaupun berlaku kegagalan untuk mencapai penyelesaian kerana keadilan kekal terpelihara apabila pertikaian itu dibawa ke mahkamah; dan
(g) kerap kali menghasilkan penyelesaian bersaling dan dipersetujui yang diputuskan oleh pihak-pihak yang bertikai sendiri.
3.Apakah jenis kes yang sesuai untuk mendapatkan khidmat pengantaraan?
Jenis kes yang sesuai untuk mendapatkan khidmat pengantaraan seperti yang berikut:
(a) semua kes kekeluargaan syariah kecuali kes permohonan wali hakim, pengesahan cerai dan rujuk, pertukaran agama, perceraian dengan li’an, prosiding yang berhubungan dengan alang semasa hidup (hibah), wasiat, permohonan anggapan kematian bagi pembubaran perkahwinan dan notis penghakiman
(b) semua kes kekeluargaan sivil kecuali kes yang melibatkan keganasan rumah tangga
(c) semua kes sivil kecuali kes kemalangan yang melibatkan pihak insurans dan kes ex-parte
(d) pertikaian yang melibatkan Pihak-Pihak yang boleh dihubungi.
4. Siapakah yang boleh memohon khidmat pengantaraan ini?
a) Khidmat pengantaraan ini boleh dipohon oleh orang yang dibantu atau pihak penentang.
b) Pegawai Penyiasat yang menemubual pemohon ia boleh mengesyorkan khidmat pengantaraan kepada pemohon sekiranya kes tersebut dilihat sesuai untuk pengantaraan.
5. Adakah boleh diteruskan sidang pengantaraan jika salah satu pihak tidak hadir?
Pengantaraan tersebut tidak boleh diteruskan jika salah satu pihak sahaja yang hadir dan dianggap tidak berjaya.
6. Adakah sidang pengantaraan boleh ditangguhkan pada tarikh yang lain?
Boleh ditangguhkan pada tarikh lain atas alasan yang munasabah yang boleh diterima oleh pengantara contoh seperti:
a) Pihak tidak hadir ke sidang pengantaraan kerana mendapat cuti sakit;
b) Pihak tidak hadir ke sidang pengantaraan kerana tidak mendapat pelepasan daripada majikan ; atau
c) Pihak tidak hadir ke sidang pengantaraan kerana berada di luar Negara.
7. Adakah mana-mana pihak yang hadir boleh menarik diri dari sidang pengantaraan?
Mana-mana pihak boleh menarik diri dari sidang pengantaraan jika enggan meneruskan sesi pengantaraan tersebut dengan mengisi borang penarikan diri daripada pengantaraan.
8. Adakah pihak yang telah menghadiri proses sulh di mahkamah syariah boleh memohon pengantaraan di JBG?
Bagi mana-mana pihak yang telah melalui sesi sulh di mahkamah syariah ia tidak lagi boleh membuat pengantaraan kes tersebut di JBG.
9. Adakah pihak-pihak terikat dengan terma-terma persetujuan penyelesaian selepas sesi pengantaraan di jalankan?
Ya. Pihak-pihak terikat dengan terma-terma penyelesaian atau persetujuan yang dicapai semasa sesi pengantaraan sepertimana yang dipersetujui.
10. Adakah pemohon bukan warga negara juga layak memohon untuk mendapat khidmat pengantaraan di JBG?
Khidmat pengantaraan ini hanya layak kepada warga negara Malaysia sahaja.
11. Bagaimana pula dengan kes pengantaraan yang tidak berjaya diselesaikan semasa sidang pengantaraan?
Bagi kes yang gagal mencapai penyelesaian semasa sidang pengantaraan kes tersebut akan dipanjangkan keperingkat seterusnya ke bahagian unit litigasi.