A- A A+

Umum

1. Apakah maklumat dan dokumen yang diperlukan untuk mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman?

 

Maklumat dan dokumen yang diperlukan ialah:

a) Kad pengenalan
b) Surat nikah/cerai asal
c) Perintah perceraian
d) Sijil kelahiran anak
e) Butiran pekerjaan
f) Nama majikan
g) Perakuan daripada majikan
h) Penyata gaji
i) Laporan perubatan
j) Laporan polis
k) Maklumat saksi
l) Pengesahan pemastautinan pihak yang menuntut
m) Apa-apa dokumen yang berkaitan

2. Apakah undang-undang yang mengawal Jabatan Bantuan Guaman

Akta Bantuan Guaman 1971 yang mula berkuat kuasa pada 24 April 1971 ialah undang-undang yang mengawal Jabatan Bantuan Guaman. Perjalanan pentadbiran harian JBG dikawal oleh Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman 2017 dan Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman (Pengantaraan) 2006.

3. Apakah objektif Jabatan Bantuan Guaman?

Jabatan Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada September 1970 dan objektifnya adalah untuk memberi bantuan dan nasihat guaman serta khidmat pengantaraan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan untuk memberi kesedaran undang-undang kepada masyarakat dengan cekap,tepat dan berkesan.

4. Apakah kriteria yang melayakkan saya mendapat bantuan guaman?

Untuk melayakkan anda mendapat bantuan guaman anda hendaklah:
a) Warganegara Malaysia;
b) Berusia 18 tahun ke atas.
Sekiranya pemohon berusia dibawah 18 tahun, ibubapa atau penjaga hendaklah menjadi pemohon bagi pihak.

5. Sekiranya saya layak mendapat bantuan guaman, adakan saya dikenakan apa-apa bayaran?

Anda hanya perlu membayar fi pendaftaran sebanyak RM 10 sekiranya sumber kewangan tahunan anda kurang dari RM 50,000 setahun. Sekiranya sumber kewangan anda melebihi RM50,000.00 setahun, anda dikehendaki membayar fi pendaftaran dan sumbangan kepada Ketua Pengarah Bantuan Guaman mengikut skala yang telah ditetapkan di dalam Peraturan-peraturan Bantuan Guaman (Fi dan Sumbangan) 2017.

6. Sekiranya kedua-dua pihak dalam sesuatu pertikaian layak untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman, adakah Jabatan Bantuan Guaman akan membantu kedua-dua pihak atau hanya pihak yang mula-mula hadir ke Jabatan?

Perkhidmatan bantuan guaman adalah terbuka kepada semua pihak yang layak tanpa mengambil kira pihak manakah yang hadir dahulu ke Jabatan Bantuan Guaman.

7. Apakah yang akan berlaku sekiranya kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu pertikaian diwakili oleh Jabatan Bantuan Guaman?

Sekiranya perkara ini berlaku, kedua-dua pihak akan dirujuk ke sidang pengantaraan di Jabatan kami untuk mencari suatu penyelesaian di luar mahkamah. Jika sidang pengantaraan gagal, kes mereka akan dirujuk kepada panel peguam yang dilantik oleh Jabatan ini mengikut seksyen 5 Akta Bantuan Guaman 1971 dan fi guaman akan dibayar oleh Jabatan Bantuan Guaman.

8. Adakah saya masih layak dibantu walaupun kes saya di luar bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman?

Sesuatu permohonan bagi kes di luar bidang kuasa Jabatan sebagaimana yang  dinyatakan dalam subseksyen 10(2A) dan 12(3) Akta Bantuan Guaman 1971 boleh dikemukakan kepada Menteri melalui Ketua Pengarah untuk pertimbangan dan pengecualian dengan syarat bahawa terdapat merit dalam permohonan tersebut.

9. Apakah bentuk nasihat undang-undang yang disediakan oleh Jabatan Bantuan Guaman?

Menurut seksyen 29 Akta Bantuan Guaman 1971, nasihat guaman hendaklah terdiri daripada nasihat secara lisan mengenai soal undang-undang berkaitan dengan undang-undang Malaysia.