Sivil

1. Adakah JBG menawarkan perkhidmatannya dalam kes jenayah

 Ya, JBG menawarkan perkhidmatannya dalam kes jenayah secara terhad iaitu -

  • mewakili pesalah kanak-kanak yang dipertuduh dengan kesalahan  jenayah dalam prosiding di Mahkamah Kanak- Kanak (secara tertutup), atau di Mahkamah Terbuka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]  jika pesalah kanak-kanak dituduh bersama seorang dewasa
  • mewakili tertuduh yang dipertuduh dengan kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336]; dan
  • mewakili tertuduh yang mengaku salah kepada pertuduhan dan ingin membuat rayuan untuk meringankan hukuman berkenaan dengannya.

 

Pentadbiran Harta Pusaka

1. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka?

Harta peninggalan si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih. Harta seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insuran, kenderaan, perabot, pakaian dan sebagainya dipanggil harta alih. Harta seperti tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, lombong, sawah, bendang, telaga dan tasik dan bangunan/rumah di atas tanah disebut sebagai harta tak alih.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka kecil?

Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM2,000,000.00 ke bawah. Harta yang berikut adalah dianggapkan sebagai harta pusaka kecil:
a) tanah sahaja;
b) tanah dengan rumah;
c) tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP, simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian dan sebagainya; dan
d) tanah dan apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67].

3. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka biasa??

Semua jenis harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, atau sebahagiannya tanpa wasiat seperti:
a) harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM2,000,000.00 ke atas kesemuanya;
b) harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM2,000,000.00; dan
c) harta alih sahaja seperti wang, syer dan kenderaan walaupun nilai keseluruhannya kurang daripada RM2,000,000.00.

 

4. Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka berwasiat dan tidak berwasiat (testate and intestate estate)?

Sekiranya si mati meninggalkan harta dengan surat wasiat terakhir yang sah yang mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan di antara waris-warisnya, harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat (testate estate).

Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selagi tidak mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Akta/ Ordinan Wasiat dan kesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris.

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3 daripada harta pusakanya kepada pihak-pihak lain selain daripada waris (sama ada dengan persetujuan atau tanpa persetujuan waris).

Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak berwasiat (intestate estate).

5. Apakah yang dimaksudkan dengan probet?

Probet ialah suatu tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet ialah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan surat kuasa mentadbir?

Permohonan surat kuasa mentadbir dibuat apabila si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat. Permohonan surat kuasa mentadbir boleh dibuat oleh pihak yang berikut:
a) waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki
atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya;
b) pemiutang (creditor) seperti pemberi pinjam wang, bank, koperasi dan sebagainya;
c) pihak-pihak pembeli (purchasers) dan pemegang serah hak, pemegang gadaian dan pajakan yang mempunyai kepentingan dalam harta peninggalan si mati;
d) waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad dan sebagainya; dan
e) Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam harta pusaka yang berkenaan.

7. Apakah prosedur untuk membuat permohonan probet dan surat kuasa mentadbir?

Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, permohonan hendaklah difailkan di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet. Sekiranya si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir harta pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.

8. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa permohonan?

Setiap petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka hendaklah disertakan dengan:

a) bukti kematian si mati seperti sijil kematian (death certificate) atau permit untuk mengebumikan mayat. Lazimnya dokumen- dokumen seperti ini dikeluarkan oleh pihak hospital dan/atau pihak polis;
b) sekiranya kematian tidak dapat dibuktikan dengan cara biasa, satu permohonan untuk perintah anggapan kematian (presumption of death) hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu dan perintah Mahkamah Tinggi itu hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka;
c) surat wasiat terakhir si mati (bagi permohonan probet);
d) satu jadual yang mengandungi butir-butir serta nilai aset dan tanggungan (assets & liabilities);
e) suatu sijil faraid yang diperolehi daripada Mahkamah Syariah (bagi orang Islam);
f) suatu senarai waris-waris si mati, umur, tali persaudaraan dengan si mati dan alamat masing-masing bagi tujuan mendapatkan persetujuan melantik pentadbir yag dicadangkan;
g) surat persetujuan waris-waris yang bersetuju dengan pelantikan seseorang waris yang dicadangkan sebagai pentadbir harta pusaka (yang ditandatangani di hadapan seorang Majistret/ Pesuruhjaya Sumpah sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan);
h) surat penolakan waris-waris yang ingin menolak hak dan bahagian masing-masing terhadap harta pusaka peninggalan si mati (Borang 169); dan
i) dokumen pelantikan penjaga (guardian ad litem) sekiranya terdapat waris di bawah umur atau orang kurang upaya.

Dua (2) orang penjamin yang layak dan sesuai hendaklah dikemukakan sekiranya nilaian harta pusaka melebihi RM50,000.00.

Geran (atau kuasa) untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh mahkamah telah dikemukakan oleh pempetisyen

9. Bolehkah mahkamah mengecualikan bon penjamin?

Sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan untuk mendapat penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, permohonan boleh dibuat kepada mahkamah untuk suatu perintah bahawa pempetisyen diberi kebenaran untuk dikecualikan daripada mengemukakan penjamin-penjamin (dispensation of sureties) atau mendapatkan khidmat penjamin profesional seperti syarikat insurans atau institusi bank dengan bayaran fi yang ditetapkan oleh syarikat/ institusi berkenaan berdasarkan jumlah nilaian harta pusaka tersebut.

10. Bolehkah mahkamah mengecualikan bon penjamin?

Probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin diperoleh dan bon pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen.

11. Di manakah probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka perlu didaftarkan?

Setelah probet/ surat kuasa mentadbir harta pusaka diperolehi oleh pempetisyen, ianya hendaklah didaftarkan di pejabat tanah yang berkenaan, agar semua suratan-suratan hak-milik tersebut didaftar di atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati berkenaan, menurut Seksyen 346 Kanun Tanah Negara. Pempetisyen seterusnya bertanggungjawab, sebaik sahaja dia menghasilkan semua aset si mati, satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka itu kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati atau menurut Akta/ Ordinan Wasiat.

12. Apakah prosedur untuk membuat permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil?

Permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil (yang mana jumlah nilai harta tak alih bersama harta alih tidak melebihi RM2,000,000.00 pada tarikh peninggalan si mati) hendaklah dibuat di Pejabat Tanah yang berkenaan. Permohonan ini dibuat dengan menggunakan Borang A yang boleh didapati di Pejabat Tanah (Unit Pembahagian Pusaka Kecil).

13. Apakah dokumen yang perlu disertakan bagi permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil?

Permohonan hendaklah dibuat dengan mengemukakan Borang A kepada Unit Pembahagian Pusaka Kecil berserta dokumen berikut;
a) Sijil kematian, permit pengebumian atau perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh mahkamah;
b) Sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah; dan
c) Salinan hakmilik keluarga dan salinan dokumen-dokumen lain yang menunjukkan pegangan harta tak alih yang sah.

14. Setelah permohonan difailkan, apakah tindakan Unit Pembahagian Pusaka Kecil?

Setelah permohonan difailkan, Unit Pembahagian Pusaka Kecil akan menyediakan laporan berikut:
a) Laporan Penghulu di mukim tempat pemohon itu tinggal;
b) Perakuan daripada Pejabat Tanah tentang nilaian harta yang dinyatakan di dalam permohonan; dan
c) Pengesahan daripada Pendaftar Mahkamah Tinggi sama ada permohonan untuk Borang C telah dibuat atau belum bagi mentadbir harta pusaka berkenaan.

Setelah laporan-laporan di atas diperoleh, tindakan lanjut Unit Pembahagian Pusaka Kecil adalah seperti berikut:

a) Suatu tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Unit Pembahagian Pusaka Kecil melalui notis perbicaraan yang akan dihantar kepada pemohon dan waris-waris yang berkenaan.
b) Semasa perbicaraan dijalankan, Pegawai Tadbir Unit Pembahagian Pusaka Kecil akan memeriksa keterangan daripada pemohon dan juga waris-waris yang berkenaan dan merekodkan keterangan tersebut dan setelah berpuas hati, akan membenarkan permohonan yang dipohon itu.
c) Perintah pembahagian akan hanya dikeluarkan selepas tamat tempoh 14 hari dari tarikh perbicaraan bagi membolehkan mana-mana pihak mengemukakan rayuan, sekiranya terdapat apa-apa yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak.
d) Selepas tamat tempoh 14 hari dan sekiranya tidak ada apa-apa rayuan yang diterima, perintah pembahagian bolehlah dikeluarkan dengan membayar sejumlah fi yang ditetapkan.kepada Pejabat Tanah
e) Setelah perintah tersebut diperolehi, pemohon dikehendaki menyerahkan geran tanah untuk didaftarkan pembahagian seperti yang dicatatkan dalam perintah pembahagian dan geran tanah berkenaan akan dikembalikan setelah pendaftaran selesai.

15. Apakah prosedur untuk memohon pentadbiran terus (summary administration) di Amanah Raya Berhad (ARB)?

ARB merupakan sebuah institusi yang dilindungi oleh Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 [Akta 352] dan mempunyai bidang kuasa khusus untuk mentadbir harta pusaka. Prosedur bagi memohon pentadbiran terus di ARB adalah seperti berikut:
a) Menurut seksyen 17 Akta 352, Ketua Pegawai Eksekutif ARB dibenarkan mentadbir harta pusaka yang mempunyai harta alih yang tidak melebihi RM600,000.00 di bawah tanpa surat kuasa mentadbir daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pentadbir Tanah Daerah. Hal ini dibuat sekiranya tiada apa-apa permohonan dibuat oleh mana-mana pihak yang lain terhadap harta pusaka peninggalan si mati.
b) Waris-waris atau sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati yang tidak melebihi RM600,000.00 dalam bentuk harta alih sahaja boleh memohon kepada ARB untuk mentadbir harta pusaka tersebut.
c) Waris-waris hanya diperlukan mengisi dan mengemukakan borang permohonan ini dengan maklumat yang lengkap dan dokumen-dokumen yang membuktikan kematian si mati.
d) Sebaik sahaja permohonan ini diterima, ARB akan memprosesnya dengan mengeluarkan satu pengistiharan bagi mentadbir pusaka tersebut.
e) ARB diberi kuasa untuk menghasilkan aset-aset yang berkenaan bagi tujuan pembahagian.
f) Setelah menjelaskan bayaran duti pusaka bagi kes-kes kematian (sebelum 1 November 1991 sahaja), hutang pusaka dan menolak fi bagi ARB, baki aset akan dibahagikan menurut faraid (bagi orang Islam), Ordinan Pembahagian (bagi orang bukan Islam) atau secara persetujuan antara waris-waris yang berkenaan.
g) Seksyen 17 Akta 352 adalah sangat berkesan bagi kes tuntutan kemalangan maut jalan raya di mana waris-waris si mati bercadang untuk mengambil tindakan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67].

16. Bolehkah Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman untuk membuat permohonan probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman boleh memberi bantuan guaman untuk membuat permohonan probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka. Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

 

 

Tuntutan Nafkah Orang Bukan Islam

 

1. Apakah prinsip asas nafkah?

Prinsip asasnya adalah seseorang suami atau bapa kepada anak, sama ada sah taraf atau sebaliknya, mempunyai tanggungjawab untuk menanggung dan membayar nafkah isteri dan anaknya yang tiada kemampuan untuk menanggung diri mereka sendiri. Sekiranya tanggungjawab ini diabaikan, tuntutan boleh dibuat di mahkamah menurut Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Nafkah) 1950 [Akta 263].

2. Siapakah yang berhak menuntut nafkah?

Perempuan-perempuan yang bersuami yang menuntut bagi diri mereka dan juga anak-anak (sama ada sah taraf atau tidak sah taraf) yang tidak berkeupayaan menanggung diri mereka sendiri, termasuk juga anak angkat yang didaftarkan melalui Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257]. Tuntutan nafkah menurut Akta 263 hanya terpakai bagi orang yang bukan beragama Islam.

3. Kepada siapakah tuntutan nafkah boleh dibuat?

Tuntutan nafkah boleh dibuat terhadap mana-mana suami oleh isteri, atau kepada bapa oleh anak tersebut.

4. Bilakah tuntutan nafkah boleh dibuat?

Tuntutan nafkah boleh dibuat apabila pihak suami atau bapa cuai atau enggan menanggung nafkah isteri atau anaknya sama ada yang sah taraf atau tidak sah taraf.

5. Bagaimanakah keadaan cuai oleh pihak suami atau bapa yang membolehkan isteri dan anak-anak menuntut nafkah di mahkamah?

Apabila nafkah yang diberikan tidak mencukupi, tidak tetap atau tiada nafkah langsung diberikan kepada isteri dan anak-anak.

6. Apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan jumlah nafkah?

Mahkamah akan mengambil kira keperluan isteri dan/ atau anak dan juga kemampuan suami dan/ atau bapa dalam menentukan suatu jumlah nafkah yang munasabah. Faktor-faktor lain adalah:
a) Pendapatan dan harta pihak-pihak kepada tuntutan (terutama suami/ bapa);
b) Tanggungan pihak suami atau bapa;
c) Keperluan kewangan pihak-pihak kepada tuntutan;
d) Kebolehan kedua-dua pihak untuk mendapatkan pekerjaan;
e) Umur dan tahap kesihatan pihak-pihak kepada tuntutan.

7. Adakah boleh jika suami enggan membayar nafkah atas alasan pendapatan isteri telah mencukupi?

Tidak boleh. Suami tidak terlepas daripada tanggungan untuk membayar nafkah hanya kerana isteri mempunyai pendapatan atau wangnya sendiri.

8. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam tuntutan kes nafkah ini?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman bagi mewakili isteri dan anak membuat tuntutan nafkah di mahkamah.

 

 Tuntutan Ganti Rugi Bagi Kes Kemalangan Jalan Raya

1. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas kemalangan berlaku?

Antara tindakan yang perlu diambil adalah seperti yang berikut:
(a) Catat nama dan alamat pemandu atau pemandu-pemandu lain, model dan nombor pendaftaran yang terlibat dalam kemalangan tersebut;
(b) Catat nama dan alamat saksi-saksi kemalangan, sekiranya ada;
(c) Ambil gambar lokasi kejadian serta kemalangan/kerosakan yang dialami;
(d) Buat lakaran kasar kemalangan dan lokasi kenderaan;
(e) Pastikan laporan polis dibuat dengan segera iaitu dalam tempoh 24 jam;
(f) Menjalani rawatan perubatan di klinik/ hospital serta dapatkan laporan perubatan;
(g) sekiranya kemalangan melibatkan kematian, dapatkan sijil kematian; dan
(h) dapatkan semua resit perbelanjaan yang telah dibelanjakan akibat daripada kemalangan tersebut.

Selanjutnya, sekiranya pihak-pihak dilindungi oleh syarikat insurans:
(i) Bertukar maklumat nama syarikat insurans/ pengendali takaful masing-masing;
(j) Tidak perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan berkenaan liabiliti kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesulitan dalam mengendalikan tuntutan kelak;
(k) Jika kenderaan perlu ditunda, pastikan kenderaan tersebut dihantar ke bengkel yang betul. Hubungi syarikat insurans/pengendali takaful atau nombor hotline kemalangan syarikat bagi mendapatkan maklumat bengkel yang betul; dan
(l) Laporkan kemalangan kepada syarikat insurans/pengendali takaful dengan segera, walaupun tidak berniat untuk membuat sebarang tuntutan. Pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan tersebut mungkin akan membuat tuntutan insurans kepada syarikat insurans/pengendali takaful dan akan menyebabkan kehilangan diskaun tiada tuntutan atau lebih dikenali sebagai NCD.

 

2. Apakah jenis tuntutan ganti rugi kemalangan yang boleh dibuat?

Terdapat 3 jenis tuntutan yang boleh diboleh dibuat iaitu:

(i) Tuntutan bagi kemalangan maut

(a) Tuntutan ini boleh diambil oleh isteri, suami, ibu bapa atau anak si mati yang telah kehilangan tanggungan akibat kematian si mati yang diakibatkan oleh kemalangan tersebut. Perkiraan jumlah tuntutan telah digariskan oleh Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67]. Pada lazimnya, faktor yang diambil kira dalam menentukan jumlah tuntutan ialah:
• umur si mati;
• status perkahwinan si mati; dan
• jumlah sumbangan si mati (semasa hayatnya) kepada keluarga.

(b) Keluarga si mati juga boleh menuntut untuk kedukacitaan (bereavement) sehingga RM 30,000.00. Tuntutan ini hanya boleh dibuat sekiranya;
• si mati berusia 18 tahun ke atas dan berkahwin (suami/ isteri); dan
• si mati berusia bawah 18 tahun dan tidak berkahwin (ibu/ bapa sahaja).
Tiada tuntutan kedukacitaan boleh dibuat sekiranya si mati berusia 18 tahun dan ke atas dan tidak berkahwin.
(c) Tuntutan harta pusaka si mati boleh diambil oleh pentadbir harta pusaka si mati yang telah dilantik menurut prosedur undang-undang. Tuntutan yang boleh dibuat oleh pentadbir harta pusaka si mati ialah:
• Kos bagi perbelanjaan yang ditanggung untuk merawat kesakitan/menjaga si mati, sekiranya si mati tidak meninggal dunia sebaik sahaja kemalangan berlaku;
• Kos bagi perbelanjaan untuk pengkebumian (funeral expenses) si mati; dan
• Kos yang perlu ditanggung bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir berhubung harta pusaka peninggalan si mati.

(ii) Tuntutan bagi kecederaan

Tuntutan ini boleh diambil bagi kes-kes kemalangan melibatkan kecederaan. Terdapat dua 2 jenis tuntutan yang boleh dibuat iaitu:

(a) Tuntutan ganti rugi am

Ganti rugi am akan ditaksirkan oleh mahkamah berpandukan kepada kes-kes yang terdahulu yang telah diputuskan berhubung dengan jumlah ganti rugi yang patut diberikan untuk kecederaan tertentu. Selain itu, sebagai panduan bagi penetapan kuantum ganti rugi, mahkamah juga akan membuat rujukan kepada Compendium of Personal Injury Awards yang disediakan oleh Majlis Peguam Malaysia.

(b) Tuntutan ganti rugi khas

Ganti rugi khas diberikan atas perbelanjaan/kerugian yang ditanggung oleh Pihak Menuntut akibat daripada kemalangan yang berlaku. Pihak Menuntut perlu mendapatkan segala resit perbelanjaan bagi membuktikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan seperti perbelanjaan untuk perubatan dan rawatan, kehilangan pakaian dan barangan, pembayaran untuk laporan polis, laporan perubatan dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan.

(iii) Tuntutan untuk kerosakan kenderaan

Tuntutan untuk kerosakan kenderaan ialah tuntutan bagi menuntut kos atau perbelanjaan bagi membaiki kenderaan yang rosak, kehilangan penggunaan kenderaan untuk jangka masa yang munasabah dan jumlah kemerosotan nilai harta kenderaan akibat daripada kemalangan yang berlaku. Pihak Menuntut perlu mendapatkan segala resit perbelanjaan yang berkaitan sebagai bukti bagi memfailkan tuntutan.

3. Bilakah tuntutan ganti rugi kemalangan boleh dibuat?

Tuntutan ganti rugi kemalangan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh undang-undang menurut Akta Had Masa 1953 [Akta 254] dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] sebagaimana di bawah:

(a) Jika tidak melibatkan kematian: 6 tahun dari tarikh kemalangan;
(b) Jika melibatkan kematian: 3 tahun dari tarikh kemalangan (tuntutan boleh dibuat melalui wakil si mati/ pentadbir harta pusaka si mati); dan
(c) Jika melibatkan pihak Kerajaan Malaysia: 3 tahun dari tarikh kemalangan.

4. Siapakah yang akan membayar ganti rugi yang dituntut?

Sekiranya pihak yang menanggung liabiliti dilindungi oleh syarikat insurans, seksyen 96(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] memperuntukkan bahawa penghakiman/perintah mahkamah berkenaan tuntutan ganti rugi berkenaan perlu dijelaskan oleh syarikat insurans yang melindungi kenderaan tersebut.

5. Sekiranya pihak-pihak tidak dilindungi oleh syarikat insurans, apakah tindakan yang perlu diambil selepas kemalangan berlaku?

Sekiranya kenderaan tidak dilindungi oleh mana-mana syarikat insurans, pemilik kereta akan menanggung sendiri apa-apa kos kerugian sama ada yang melibatkan kerosakan kenderaan atau kecederaan.

Pihak menuntut, pihak ketiga dan/atau pihak lain boleh menuntut kos ganti rugi sama ada melibatkan kerosakan kenderaan atau kecederaan terus kepada pihak yang menanggung liabiliti. Pihak yang menanggung liabiliti boleh dinamakan sebagai pihak-pihak yang dituntut dalam tuntutan ganti rugi yang difailkan ke mahkamah.

6. Apakah yang boleh dilakukan sekiranya menjadi mangsa kemalangan kepada kenderaan yang tidak dilindungi oleh insurans?

Sekiranya menjadi mangsa kemalangan kepada kenderaan yang tidak dilindungi oleh insurans, tuntutan masih boleh dibuat kepada Motor Insurer’s Bureau of West Malaysia (MIB).

7. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam kes tuntutan ganti rugi kemalangan?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman boleh memberi bantuan guaman bagi mewakili pemohon dalam kes tuntutan ganti rugi kemalangan. Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.

8. Apakah dokumen yang perlu dibawa bersama ke Jabatan Bantuan Guaman bagi kes tuntutan ganti rugi kemalangan?

Dokumen yang perlu dibawa semasa hadir ke Jabatan Bantuan Guaman adalah seperti berikut:

(a) Laporan polis pihak-pihak yang terlibat dengan kemalangan;
(b) Laporan perubatan daripada klinik/hospital dan surat cuti sakit sekiranya berkaitan;
(c) Gambar kecederaan/ kerosakan kenderaan yang dialami;
(d) Rajah kasar tempat kemalangan daripada pihak polis;
(e) Laporan/ resit perbelanjaan bagi merawat kecederaan/ membaiki kerosakan kenderaan;
(f) Sijil kematian dan laporan perubatan/ autopsi bagi kemalangan yang melibatkan kematian; dan
(g) Dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

 

 Penceraian Orang Bukan Islam

 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan perceraian?

Pembubaran sesuatu perkahwinan yang masih sah dan wujud. Mahkamah Tinggi (dan dalam kes-kes tertentu, Mahkamah Sesyen) mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan perceraian dan memberikan dekri perceraian.

2. Mengapakah perceraian yang melibatkan orang bukan Islam mesti melalui proses mahkamah?

Perceraian yang melibatkan orang bukan Islam mesti melalui proses mahkamah sebagaimana kehendak peruntukan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

3. Apakah kedudukan perkahwinan yang dilangsungkan sebelum Akta 164 dikuatkuasakan?

Semua perkahwinan yang dilangsungkan sebelum Akta 164 berkuat kuasa dianggap sebagai perkahwinan yang telah didaftarkan di bawah Akta ini dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

4. Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Pemohon sebelum permohonan perceraian difailkan ke mahkamah?

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum permohonan perceraian difailkan ke mahkamah ialah:
(a) Permohonan perceraian hanya boleh difailkan ke mahkamah selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan (Pemohon boleh mengemukakan permohonan kepada hakim untuk menyerahkan permohonan perceraian dalam tempoh tertentu atas alasan bahawa hal itu ialah suatu hal yang terbit daripada hal keadaan atau kesusahan yang terkecuali yang dideritai oleh sesuatu pihak); dan
(b) Pemohon perlu mendapatkan sijil daripada Tribunal Perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Pemohon boleh memohon pengecualian daripada merujuk kes ke Tribunal Perkahwinan di JPN boleh dengan mengemukakan alasan-alasan yang munasabah).

5. Berapakah kategori permohonan perceraian?

Kategori permohonan perceraian adalah seperti berikut:

A. Pembubaran Perkahwinan kerana Salah Satu Pihak Memeluk Agama Islam (Seksyen 51(1)(a) Akta 164)
Jika suatu pihak kepada perkahwinan sama ada suami atau isteri telah memeluk agama Islam dan pihak satu lagi sama ada suami atau isteri tidak memeluk agama Islam.

B. Pembatalan Perkahwinan (Seksyen 67, 68, 69 dan 70 Akta 164)
Pemohon sama ada suami atau isteri boleh menyampaikan suatu permohonan kepada mahkamah bagi memohon suatu dekri pembatalan perkahwinan atas alasan berikut:
(i) Seksyen 69 Akta 164: Sebelum pemohon memfailkan permohonan pembatalan perkahwinan, pemohon mestilah membuktikan kepada mahkamah bahawa terdapat alasan yang perkahwinan itu adalah tak sah.

(ii) Seksyen 70 Akta 164: Sesuatu perkahwinan yang berlaku selepas tarikh Akta 164 mula berkuat kuasa boleh menjadi tidak sah atas beberapa alasan yang telah ditetapkan melalui pembuktian.

C. Pembubaran Perkahwinan dengan Persetujuan Bersama (Seksyen 52 Akta 164)
Jika suami dan isteri bersama-sama bersetuju supaya perkahwinan mereka dibubarkan, mereka boleh selepas tamat tempoh dua (2) tahun dari tarikh perkahwinan mereka, memfailkan permohonan perceraian bersama kepada mahkamah.

D. Petisyen Perceraian yang Dipertikaikan (Seksyen 53 dan 54 Akta 164)

Salah satu pihak kepada perkahwinan boleh memfailkan petisyen perceraian atas alasan bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dengan tidak dapat lagi dipulihkan.

6. Apakah kesan utama daripada perceraian/ pembubaran perkahwinan?

Kesan utama selepas perceraian/ pembubaran perkahwinan ialah:
(a) Kedua-dua pihak boleh berkahwin dengan pihak yang lain apabila suatu dekri perceraian menjadi mutlak; dan
(b) Hak-hak pihak ditentukan oleh mahkamah.

7. Apakah dokumen yang diperlukan untuk memfailkan permohonan perceraian?

Dokumen yang diperlukan untuk memfailkan permohonan perceraian adalah seperti berikut:
(a) Salinan sijil perkahwinan atau dokumen lain yang boleh membuktikan kewujudan perkahwinan;
(b) Salinan sijil kelahiran anak-anak hasil daripada perkongsian perkahwinan (jika ada);
(c) Sijil Tribunal Perkahwinan di JPN;
(d) Kad pengenalan;
(e) Nama/ alamat/ pekerjaan dan pendapatan tahunan suami/ isteri;
(f) Nama dan alamat majikan suami/ isteri; dan
(g) Laporan-laporan yang berkaitan; dan
(h) Dokumen sokongan lain yang berkaitan, jika ada.

8. Apakah peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam kes tuntutan perceraian?

Tertakluk kepada pertimbangan terhadap merit kes serta ujian kemampuan yang telah ditetapkan, Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan guaman bagi mewakili pemohon sama ada suami dan/ atau isteri untuk memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah.
Pemohon yang berkelayakan boleh hadir ke cawangan Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan dengan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan.