
Sesi Town Hall Antibuli Peringkat Negeri Johor
KOTA ISKANDAR, 19 September 2025 (Jumaat) – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Johor melalui Pengarahnya, Puan Aidatul Azura binti Zainal Abidin bersama lima orang pegawai telah menghadiri Platform Dialog yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Azalina binti Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bertempat di Dewan Banquet, Aras 2, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Sesi dialog ini memberi tumpuan kepada perbincangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) dan penubuhan Tribunal Antibuli sebagai salah satu langkah membanteras gejala buli dalam masyarakat. Penubuhan tribunal ini disasarkan bagi melindungi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun di samping mendengar pandangan pelbagai pihak bagi memperkukuh dasar pencegahan buli negara.
Kerajaan Negeri Johor menyatakan sokongan terhadap inisiatif ini melalui kolaborasi erat bersama kerajaan Persekutuan, penggiat pendidikan, pertubuhan masyarakat, badan berkanun dan organisasi undang-undang. Komuniti setempat serta golongan belia turut digalakkan untuk memainkan peranan penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan melahirkan #GenerasiTanpaBuli.
Platform dialog ini turut berfungsi sebagai sesi Townhall persediaan sebelum RUU Tribunal Antibuli dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah:
-
YBhg Datuk Zamri Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri;
-
Encik Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah);
-
Tuan Haji Hanafi Samad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
![]() |
![]() |